Thursday, May 14, 2009

Izinku Pergi.

Izinku Pergi - Mampukah mencuri hati juri?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

SETIAP kali sesebuah lagu muncul sebagai lagu popular, lazimnya peminat hanya
memberikan pujian kepada si penyanyinya sahaja.

Walhal lagu yang baik tidak hanya terletak pada kelunakan suara penyanyinya
sahaja tetapi juga pada keindahan lirik dan melodinya.

Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan sebuah lagu popular. Pelbagai
rintangan dan halangan perlu ditempuhi.

Itulah yang berlaku pada lagu Izinku Pergi dendangan Kaer Azami yang
merupakan salah satu lagu paling popular sepanjang tahun 2007. Lagu itu dicipta
oleh Azlan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Sulu Sarawak.

Lagu itu berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-22
(AJL22) yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 27 Januari
nanti.

Azlan sendiri sebenarnya tidak menyangka lagu itu akan berjaya mencuri
perhatian pendengar setelah pelbagai cabaran dilaluinya bagi merealisasikan lagu
berhantu itu.

“Sebelum Izinku Pergi menjadi milik Kaer, ia telah melalui proses
‘perpindahan’ dari satu artis ke satu artis. Bermula dengan seorang artis yang
menjuarai sebuah pertandingan realiti, lagu itu kemudian ‘berpindah’ kepada
seorang penyanyi lelaki popular.

“Memang ketika lagu Izinku Pergi saya buat, saya bayangkan penyanyi lelaki
popular itu yang akan menyanyikannya. Tapi nampaknya, ia bukan rezekinya.

“Ia menjadi milik Kaer apabila saya mencipta lagu Dalam Kenangan untuk album
sulung Kaer. Dia meminta sebuah lagi lagu berentak balada dan saya memberikan
demo Izinku Pergi kepadanya. Tanpa berfikir panjang, keesokannya dia menelefon
saya dan mahu merakamkan lagu tersebut,” jelas jejaka berusia 37 tahun ini.

Bercerita tentang inspirasi mencipta lagu Izinku Pergi, adik kepada komposer
tersohor Adnan Abu Hassan ini memberitahu, dia mendapat inspirasi selepas
mendengar album Josh Groban.

“Namun itu bukan bermakna saya menciplak lagu itu malah soal tersebut tidak
timbul. Cuma, kadang-kala sebagai komposer, kami perlu mendapat inspirasi dari
sesuatu untuk lagu yang bakal dicipta.

“Begitu juga dengan lagu Menyemai Cinta Bersamamu nyanyian Nora yang ilhamnya
datang selepas saya mendengar salah sebuah lagu Mariah Carey,” jelasnya yang
menjuarai AJL 21 pada tahun lalu menerusi lagu Terlalu Istimewa dendangan Adibah
Noor.

Azlan yang turut memiliki studio sendiri iaitu Grooveworks Studio itu enggan
memberikan sebarang komen berhubung Sahri yang akan menggantikan Kaer
mempersembahkan Izinku Pergi pada malam AJL 22 nanti memandangkan Kaer kini
sedang menuntut di Jakarta, Indonesia.

“Itu hak Kaer untuk memilih sesiapa sahaja menggantikannya. Sahri pun tidak
kurang hebatnya dan memiliki vokal yang tersendiri. Malah, seminggu sebelum
separuh akhir dulu, dia datang ke studio dan membuat latihan bersama saya,”
ujarnya lagi.

Ditanya apakah harapannya pada malam AJL 22 nanti, Azlan memberitahu, dia
tidak meletakkan sebarang harapan kerana baginya jika lagu itu berjaya melangkah
ke peringkat akhir, itu sudah memadai dan menunjukkan lagunya diterima.

“Bagi saya, Izinku Pergi sebuah lagu yang istimewa kerana liriknya ditulis
oleh seorang yang begitu baru dalam dunia penulisan lirik. Menariknya, saat saya
menerima liriknya daripada Sulu Sarawak, ia begitu padan sekali dengan melodi
yang saya buat tanpa perlu ubah sedikit pun,” katanya.

Izinku Pergi akan berentap dengan empat buah lagu hebat lain bagi kategori
balada iaitu Ceritera Cinta nyanyian bersama Jaclyn Victor dan Lah Ahmad,
Harapan (Fazli Zainal) serta Kasih Tercipta dan Mahakarya Cinta (Faizal
Tahir).

No comments:

Post a Comment